Saturday, November 6, 2010

Wanita warga Jerman hilang dibawa arus

Sumber :Berita Harian

JITRA: Seorang wanita warga Jerman berusia 64 tahun hilang dan dikhuatiri lemas, manakala anak lelaki serta menantunya terselamat dengan memanjat dan berpaut pada pokok selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Kerenjis, Kota Giam, Malau, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa iaitu Erna Fischer bersama anaknya Yusof Abdullah, 41, juga warga Jerman serta menantunya, Ashalehah Zain, 40, warga tempatan dikatakan panik apabila mendapati air memasuki rumah mereka melebihi paras pinggang menyebabkan mereka keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira 300 meter sebelum sempat berpaut pada pokok, manakala mangsa sempat berpaut pada jambatan buat seketika sebelum dihanyutkan arus deras.

Yusof dan isterinya ditemui oleh petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang datang untuk memotong kabel elektrik di kawasan berkenaan bagi tujuan keselamatan, kira-kira jam 10 malam.

Kedua-dua mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan berkenaan sejam kemudian dengan bantuan petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), selepas berada kira-kira tiga jam di atas pokok.

Ashalehah yang juga seorang suri rumah berkata, dia sempat melihat ibu mentuanya berpaut pada tiang jambatan di sebatang sungai berhampiran rumah mereka, namun tidak mampu bertahan lama sebelum warga tua itu hanyut dibawa arus.

"Ketika kejadian kami dapati air mula memasuki rumah dan naik dengan cepat hingga paras pinggang sebelum kami sekeluarga mengambil keputusan keluar bagi menyelamatkan diri.
"Sebaik keluar, kami terus dibawa arus deras sebelum saya dan suami sempat berpaut, tetapi tidak dapat bertahan lama dan dihanyutkan arus deras," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan pasangan suami isteri itu sudah menetap di rumah berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan sering dikunjungi Fischer yang menetap di Jerman.

Fischer dikatakan akan menetap dalam tempoh beberapa bulan di rumah anak dan menantunya itu setiap kali berkunjung ke negara ini.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Kota Setar, Khairul Afzan Md Yasin, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.20 malam, pihaknya menghantar satu pasukan penyelamat dengan sebuah bot ke lokasi berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

No comments:

Post a Comment