Saturday, November 27, 2010

Agensi di bawah KDN diarah sedia hadapi gelombang kedua banjir - Hishammuddin

Sumber : myMetro Mutakhir


ALOR SETAR: Semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri diarahkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir sehingga akhir Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, agensi yang terbabit dalam operasi banjir di Kedah ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Beliau berkata, pada masa ini untuk operasi banjir di Kedah seramai lebih 1,000 anggota PDRM terbabit, JPAM (400 anggota) dan Rela (193 anggota).
"Kalau berlaku (gelombang kedua) dalam masa terdekat, kita memang sudah ada di sini dan bersedia menambah anggota mengikut keperluan, kalau tidak mungkin akan balik dulu dan kemudian gerakkan semula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hari ini beliau melawat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana itu di pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus dan Sekolah Kebangsaan Abdullah Sadun, di sini.

Hishammuddin berkata, kementeriannya juga mengarahkan Rela dan JPAM untuk memberi tumpuan kepada kerja pembersihan sekolah yang dijadikan sebagai pusat penempatan serta sekolah yang terbabit banjir.
Terdahulu, beliau turut melancarkan tabung bencana alam Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang turut menyumbangkan bantuan dalam bentuk makanan dan air mineral bernilai RM200,000 kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah.

Sebelum pulang, beliau turut melawat keluarga mangsa lemas, Nur Irshah Rosli, 9, iatu anak kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Nur Irshah dikatakan bermain dengan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, berhampiran tali air di Tanjung Bendahara sebelum terjatuh ke dalam tali air tersebut Khamis lalu. Awwad Hakimi masih belum ditemui dan operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan.-Bernama

No comments:

Post a Comment