Wednesday, December 29, 2010

Lelaki sawan atas motor masuk terusan




 Sumber : Harian Metro

ALOR SETAR: Seorang lelaki terselamat daripada maut apabila diserang sawan ketika menunggang motosikal menyebabkannya tercampak ke dalam Terusan Wan Mat Saman, kelmarin.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor Namun, nasib menyebelahi mangsa apabila kejadian itu disaksikan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar yang secara kebetulan melalui jalan terbabit untuk ke tempat kerjanya di pejabat JPAM Kota Setar, Wisma Persekutuan.

Ketua Skuad Bilik Gerakan JPAM Kota Setar, Sarjan Salim Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, dia yang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 5, terkejut apabila mendapati seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam terusan terbabit ketika menunggang motosikal Honda EX5.
Menurutnya, ketika itu, dia dari rumahnya menuju ke tempat kerja apabila melihat mangsa, Mohd Fikri Rejab, 23, yang baru pulang dari Pekan Rabu tiba-tiba diserang sawan menyebabkannya tercampak ke dalam terusan dengan keadaan kepala menegak bersama motosikalnya.

“Saya memberhentikan kenderaan untuk melihat kejadian itu dan terkejut mendapati mangsa meronta-ronta kesakitan menyebabkan saya terus terjun ke dalam terusan untuk menyelamatkannya.

“Sebaik mangsa dinaikkan, saya dapati mulutnya berbuih selain mengalami kecederaan di kaki dan tangan,” katanya.

Katanya, dia kemudian memaklumkan anggota lain dengan menghubungi Bilik Gerakan 999 JPAM Kota Setar sebelum empat anggota dengan sebuah ambulans penyelamat tiba lima minit kemudian.

Mangsa yang menetap di Batu 8, Kota Sarang Semut dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 2.15 petang.

Tuesday, December 28, 2010

Penyengat budak kena 'hukum'

Anggota JPAM Daerah Kota Setar sedang melakukan semburan racun serangga kepada sarang tebuan.

Anggota JPAM Daerah Kota Setar berjaya menurunkan sarang tebuan tersebut
sumber : Sinar Harian

KUALA KEDAH – Selama kira-kira dua tahun sekumpulan tebuan membuat sarang di atas pokok di depan rumah seorang peniaga di Taman Sri Kota di sini hingga sampai satu ketika ia telah menyengat anak saudara wanita berkenaan.

Peniaga, Siti Mariam Abd Rahman, 39, berkata, sarang tebuan itu sudah lama tergantung di atas pokok besar depan rumahnya.

Menurutnya, lama-kelamaan sarang berkenaan semakin rendah dan ramai kanak-kanak sering membaling batu ke arah sarang tebuan itu.

“Ketika berada dalam rumah, anak saudara saya telah disengat tebuan yang terbang ke dalam rumah saya.

“Anak saudara saya bernasib baik kerana selepas disengat, dia terus dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan bagi mengelak sengatan semakin teruk,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Mariam berkata, sarang tebuan atas pokok itu sangat besar dan apabila angin kuat, serangga berkenaan akan berterbangan di luar sarangnya hingga membahayakan keselamatan penduduk berhampiran.

Menurutnya, kanak-kanak juga ramai yang sering bermain di depan rumah pada setiap petang termasuk anaknya.

“Saya bimbang jika tebuan ini menyerang anak saya dan anak-anak jiran lain yang bermain di depan rumah setiap hari.

“Selepas insiden anak saudara saya disengat, saya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membuang sarang ini,” katanya yang memiliki enam anak.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Daerah Kota Setar, Salim Aziz berkata, dia bersama lima anggota bergegas ke lokasi pada jam 9.15 pagi selepas menerima panggilan telefon.

Menurutnya, setibanya di taman perumahan itu, dia mendapati sarang tebuan itu sangat besar, namun berjaya menurunkan sarang berkenaan menggunakan teknik semburan racun dalam tempoh 20 minit sahaja walaupun angin kuat.

Sunday, December 26, 2010

Ular sawa telan anak kambing ditangkap

ANGGOTA JPAM memegang ular sawa batik yang berjaya ditangkap, di Alor Setar, semalam.

Sumber : Utusan Malaysia

ALOR SETAR 2 Dis. - Seekor ular sawa sepanjang empat meter yang kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing di Kampung Pancor, Pokok Sena di sini, berjaya ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar hari ini.
Pemilik kambing itu yang terkejut apabila melihat seekor ular sawa berada di dalam kandang ternakannya bertindak menghubungi JPAM kira-kira pukul 9.10 pagi untuk menangkap reptilia itu.
Pegawai JPAM Kota Setar, Khairul Afzan Md.Yasin berkata, sebaik sahaja tiba di kandang kambing tersebut pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menangkap ular sawa itu yang tidak berupaya bergerak akibat kekenyangan.
"Ular sawa seberat kira-kira 120 kilogram itu ditangkap ketika berada di dalam kandang kambing itu. Ular tersebut tidak bertindak agresif kerana tidak mampu bergerak akibat kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, ular tersebut dipercayai menjadikan kawasan kampung itu sebagai habitatnya kerana terdapat banyak sumber makanan di kawasan itu.
Dalam satu kejadian berasingan di Kerpan, Air Hitam dekat sini semalam, seekor lagi ular sawa sepanjang empat meter berjaya ditangkap oleh anggota JPAM.
"Ular tersebut tersangkut pada jaring yang diletakkan di sawah padi dan bertindak agresif ketika anggota kami sampai di kawasan tersebut kira-kira pukul 8.30 malam.
"Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular tersebut dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," ujarnya.
Tambah Khairul, kedua-dua ekor reptilia itu akan dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

JPAM terima 4 ambulans baru

Sumber : Utusan Malaysia

ALOR SETAR 8 Dis. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Kedah bakal menerima empat buah ambulans baru bagi meringankan tugas mereka dalam operasi menyelamat mangsa yang terlibat dalam kemalangan di negeri ini.
Pegawai JPAM Daerah Kota Setar, Khairul Afzan Md.Yassin berkata, JPAM Kota Setar telah pun menerima sebuah ambulans baru untuk digunakan dalam operasi menyelamat JPAM.
"Penambahan ambulans baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tersebut memudahkan kerja anggota kami dalam tugas menyelamat mangsa yang memerlukan bantuan.
"Tiga lagi ambulans baru dijangka sampai pada awal tahun depan untuk di tempatkan di daerah lain di sini," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, perbezaan ambulans baru ini bukan sahaja pada kelengkapan disediakan, malah warnanya telah ditukar kepada biru dan jingga.
"Walaupun mempunyai ambulans yang baru namun kita (JPAM) masih lagi menggunakan ambulans yang lama untuk tujuan menyelamat dan membawa pesakit ke hospital," katanya.
Khairul Afzan berkata, ambulans baru yang disediakan itu diharapkan mampu melancarkan tugas menyelamat oleh anggota JPAM.
Selain itu, beliau berkata, perubahan pada warna ambulans itu adalah selari dengan warna uniform baru dan memberi imej baru pada JPAM.
"Kita juga berharap kemudahan baru ini akan dapat membantu orang awam yang memerlukan bantuan daripada JPAM.