Sunday, December 26, 2010

JPAM terima 4 ambulans baru

Sumber : Utusan Malaysia

ALOR SETAR 8 Dis. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Kedah bakal menerima empat buah ambulans baru bagi meringankan tugas mereka dalam operasi menyelamat mangsa yang terlibat dalam kemalangan di negeri ini.
Pegawai JPAM Daerah Kota Setar, Khairul Afzan Md.Yassin berkata, JPAM Kota Setar telah pun menerima sebuah ambulans baru untuk digunakan dalam operasi menyelamat JPAM.
"Penambahan ambulans baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tersebut memudahkan kerja anggota kami dalam tugas menyelamat mangsa yang memerlukan bantuan.
"Tiga lagi ambulans baru dijangka sampai pada awal tahun depan untuk di tempatkan di daerah lain di sini," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, perbezaan ambulans baru ini bukan sahaja pada kelengkapan disediakan, malah warnanya telah ditukar kepada biru dan jingga.
"Walaupun mempunyai ambulans yang baru namun kita (JPAM) masih lagi menggunakan ambulans yang lama untuk tujuan menyelamat dan membawa pesakit ke hospital," katanya.
Khairul Afzan berkata, ambulans baru yang disediakan itu diharapkan mampu melancarkan tugas menyelamat oleh anggota JPAM.
Selain itu, beliau berkata, perubahan pada warna ambulans itu adalah selari dengan warna uniform baru dan memberi imej baru pada JPAM.
"Kita juga berharap kemudahan baru ini akan dapat membantu orang awam yang memerlukan bantuan daripada JPAM.

No comments:

Post a Comment