Tuesday, December 28, 2010

Penyengat budak kena 'hukum'

Anggota JPAM Daerah Kota Setar sedang melakukan semburan racun serangga kepada sarang tebuan.

Anggota JPAM Daerah Kota Setar berjaya menurunkan sarang tebuan tersebut
sumber : Sinar Harian

KUALA KEDAH – Selama kira-kira dua tahun sekumpulan tebuan membuat sarang di atas pokok di depan rumah seorang peniaga di Taman Sri Kota di sini hingga sampai satu ketika ia telah menyengat anak saudara wanita berkenaan.

Peniaga, Siti Mariam Abd Rahman, 39, berkata, sarang tebuan itu sudah lama tergantung di atas pokok besar depan rumahnya.

Menurutnya, lama-kelamaan sarang berkenaan semakin rendah dan ramai kanak-kanak sering membaling batu ke arah sarang tebuan itu.

“Ketika berada dalam rumah, anak saudara saya telah disengat tebuan yang terbang ke dalam rumah saya.

“Anak saudara saya bernasib baik kerana selepas disengat, dia terus dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan bagi mengelak sengatan semakin teruk,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Mariam berkata, sarang tebuan atas pokok itu sangat besar dan apabila angin kuat, serangga berkenaan akan berterbangan di luar sarangnya hingga membahayakan keselamatan penduduk berhampiran.

Menurutnya, kanak-kanak juga ramai yang sering bermain di depan rumah pada setiap petang termasuk anaknya.

“Saya bimbang jika tebuan ini menyerang anak saya dan anak-anak jiran lain yang bermain di depan rumah setiap hari.

“Selepas insiden anak saudara saya disengat, saya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membuang sarang ini,” katanya yang memiliki enam anak.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Daerah Kota Setar, Salim Aziz berkata, dia bersama lima anggota bergegas ke lokasi pada jam 9.15 pagi selepas menerima panggilan telefon.

Menurutnya, setibanya di taman perumahan itu, dia mendapati sarang tebuan itu sangat besar, namun berjaya menurunkan sarang berkenaan menggunakan teknik semburan racun dalam tempoh 20 minit sahaja walaupun angin kuat.

No comments:

Post a Comment