Saturday, November 27, 2010

Mujur sangkut




JITRA: Satu keluarga di Kampung Pulau Pisang, Tunjang, dekat sini, lega apabila seekor ular tedung selar sepanjang hampir dua meter yang cuba memasuki rumah mereka gagal apabila tersangkut pada pukat dijemur di belakang rumah mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, baru-baru ini, Anwar Sarrazim Lit, 41, berkata, ketika itu dia berehat di rumah sebelum terdengar bunyi bising di belakang rumahnya.

“Saya tergamam apabila melihat seekor ular tedung selar sebesar lengan tersangkut pada pukat dijemur di belakang rumah. Saya baru menjemur pukat air tawar ini dua jam lalu. Sebelum ini saya menggunakannya untuk menangkap ikan.
“Saya tak sangka pula di kawasan rumah saya ini terdapat ular tedung selar. Kejadian ini menakutkan saya bersama 10 ahli keluarga lain kerana haiwan ini memang dikenali amat berbisa,” katanya.

Katanya, mujur ular itu tidak dapat memasuki rumahnya apabila tersangkut pada pukat itu.

Anwar berkata, dia kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap reptilia itu.
Pegawai Operasi JPAM Kota Setar, Koperal Wan Haslan Wan Hamid berkata, empat anggota JPAM dikerahkan ke lokasi dan mendapati seekor ular tedung selar sepanjang 1.5 meter tersangkut pada pukat berkenaan.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan reptilia itu berikutan seluruh badannya terlilit pada pukat berkenaan.

No comments:

Post a Comment